Thursday 7 September 2017

Produk Kosmetik Beracun


Produk kecantikan dan penjagaan kulit menjadi sinonim dalam masyarakat hari ini. Terdapat permintaan tinggi untuk produk yang menjadikan kulit putih dan cerah kerana masalah kusam dan berjeragat.

Berdasarkan kajian pemasaran, industry produk pencerahan kulit akan menjana AS$19.8 bilion (RM28 bilion) secara global menjelang 2018 disebabkan permintaan tinggi dia Asia, Timur Tengah hingga Afrika.

Secara umumnya, produk pencerahan kulit menghalang enzim ‘tirosinase’ di dalam sel kulit jenis melanosit yang menyebabkan pembentukan pigmen melanin berkurangan dan ini akan menyebabkan kulit bertambah cerah.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kulit menghasilkan lebihan melanin seperti faktor genetic, pendedahan pada cahaya matahari ultraungu (UV) dan gangguan hormone atau kesan sampingan ubat tertentu.

Bahan atau agen yang menghalang aktiviti enzim tirosinase ini biasanya dipanggil sebagai bahan antitirosinase. Produk pencerahan kulit ada juga yang menggunakan agen pengelupasan dan ada juga yang ditambah dengan agen pelindung mataharidengan Faktor Pelindung Matahari (SPF) yang tinggi.

Terdapat beberapa bahan yang boleh membantu mencerahkan kulit seseorang tetapi ia berbahaya kepada kesihatan seperti raksa atau merkuri dan hidrokuinon. Raksa yang digunakan dalam produk kulit untuk pencerahan adalah dalam bentuk inorganic.

Raksa atau merkuri adalah bahan beracun yang diharamkan penggunaannya dalam produk kosmetik kerana ia boleh berkumpul dalam sel kulit dan menyebabkan keracunan yang kronik.

Ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, sindrom nefrotik, kerosakan saraf, kerosakan otak dan masalah mental. Merkuri yang digunakan dalam sabun atau krim akan terbuang semasa dicuci dan akan masuk ke dalam kitaran air yang mana akan bertukar kepada methyl merkuri yang akan dimakan oleh ikan seterusnya dimakan oleh manusia menyebabkan masalah keracunan yang kronik.

Terdapat kajian menunjukkan penggunaan bahan hidrokuinon dalam peratusan yang tinggi akan menyebabkan masalah kanser kulit. Ia hanya dibenarkan digunakan oleh doctor bertauliah untuk mengatasi masalah kulit jeragat yang serius.

Terdapat bahan semulajadi yang selamat digunakan berdasarkan kajian sains yang juga mempunyai sigat antitirosinase.

Antara agenyang membantu mengurangkan penghasilan melanin pada kulit adalah arbutin, asid kojik, asid azelaik, vitamin C, vitamin E (tokotrinol dan tokoferol), glutathion, ekstrak buah delima, ekstrak likoris dan niacinamid.

Arburin adalah bahan antioksidan yang diambil daripada daun bearberi, cranberi, mulberi atau blueberi. Ia adalah bahan semulajadi yang selamat sebagai agen pencerahan kulit dan terdapat kajian sains yang membuktikannya.

Asid kojik pula adalah bahan yang dihasilkan daripada proses penapaian beras dan terdapat kajian menunjukkan ia berupaya membantu mencerahkan kulit. Asid azalaik adalah komponen dalam bijirin seperti gandum, rye dan barli.

Ia disapu pada kulit sebagai krim dalam kepekatan 10 – 20% dan biasanya digunakan dalam rawatan untuk masalah jerawat. Tetapi terdapat juga kajian menunjukkan ia juga boleh membantu mencerahkan kulit.

Vitamin C sangat popular sebagai bahan pencerah kulit kerana ia membantu meningkatkan paras glutathione dalam kulit. Terdapat banyak kajian menunjukkan sifat vitamin C sebagai antioksidan membantu dalam pencerahan kulit kerana ia melindungi sel kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Vitamin E sangat popular kerana antioksidan yang sangat kuat melindungi kulit daripada kesan radikal bebas menyebabkan masalah masalah kulit berjeragat, berkedut dan kusam serta tidak bermaya.

Kajian terbaru menunjukkan Tokotrienol, iaitu vitamin E yang kurang dikenali mempunyai kelebihan yang sangat banyak berbanding vitamin E biasa dari jenis tokoferol.

Vitamin E jenis tokotrienol adalah sangat kaya dalam minyak kelapa sawit. Ia banyak digunakan dalam pelbagai jenis produk penjagaan kulit dan kosmetik di seluruh Negara.

Bahan semulajadi seperti minyak zaitun juga mengandungi vitamin E dan juga polifeno seperti hidroksi tirosol, oleocanthal dan oleuropin yang sangat baik untuk kesihatan kulit. Oleh itu, minyak zaitun juga digunakan dalam produk penjagaan kulit.

Sumber Info :

Dr Norman Mohd Norawi
Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetk,
Antipenuaan & Perubatan Regenaratif
Ruangan Sihat
Metro 21 Februari 2016



No comments:

Post a Comment